KARANGAN
AUTOBIOGRAFI
Aku
Sebuah Beg Tangan
Aku dilahirkan di
sebuah kilang yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Aku diperbuat
daripada kulit. Pada badan ku terdapat sepasang tangan yang bulat dan panjang.
Perutku dapat memuatkan pelbagai khazanah yang berguna kepada manusia.
Aku telah
dimasukkan ke dalam kotak yang besar bersama-sama dengan rakanku yang lain. Aku
berasa takut kerana suasana yang gelap di dalam kotak itu. Kemudiannya, aku
dimuatkan ke dalam sebuah lori. Perasaan bimbang terus menyelubungi diriku
kerana aku tidak tahu arah aku akan dibawa. Jarak perjalanan yang kulalui amat
jauh. Khabarnya , aku akan dibawa berhijrah ke selatan semenanjung Malaysia.
Perjalanan yang aku
lalui sungguh meletihkan. Akhirnya aku sampai di destinasi yang dituju. Aku
telah diangkut dari badan lori ke sebuah tempat yang masih tidak aku ketahui.
Setelah dikeluarkan dari kotak, barulah aku tahu bahawa aku sebenarnya di
tempatkan di sebuah pasar raya. Kemudian aku disusun di dalam sebuah almari
kaca bersama-sama dengan rakan-rakanku. Aku berasa amat bangga kerana setiap
hari aku dipertontonkan kepada orang ramai. Aku sering mendengar pujian tentang
kecantikanku.
Pada suatu hari,
datang seorang wanita muda membelek-belekku. Wanita ini terpaut cinta pandang
pertama tehadapku. Aku telah dibawanya ke kaunter pembayaran. Aku kini
mempunyai seorang tuan yang baharu. Lima hari dalam seminggu, aku akan dibawa
ke tempat kerjanya. Dia memasukkan beberapa batang pen dakwat merah, pena
penanda, telefon bimbit dan tisu ke dalam perutku. Kadang-kadang aku dibawa
bersiar-siar. Aku berasa gembira kerana tuan aku seorang yang bertimbang rasa.
Aku dijaganya dengan baik dan penuh kasih sayang.
Pada suatu petang,
ketika aku dibawa oleh tuan aku ke sebuah gedung beli-belah, tiba-tiba seorang
pemuda telah merentap aku dari galasan tuan aku, dari arah belakang. Rentapan
yang kuat itu menyebabkan tanganku putus. Aku kemudiannya telah dilarikan.
Setibanya di suatu tempat sunyi, isi perutku telah ditaburkan. Aku dicampakkan
ke dalam semak samun.
Sejak hari itu, aku
dibiarkan di dalam semak samun. Kini aku tidak bertuan, aku tinggal sebatang
kara. Hanya panas, hujan dan air mata menjadi teman setia aku. Aku tidak mampu
lagi memikirkan nasibku. Tinggallah aku sendirian menghitung waktu. Nasibku ibarat " untung sabut timbul, untung batu tenggelam".