Blogger Widgets Blogspot Tutorial
RSS

Aku Senaskah Akhbar



KARANGAN AUTOBIOGRAFI

                                            Aku Senaskhah Akhbar

                                                   


Aku dilahirkan pada waktu malam tanggal 21 April 2010. Suasana bising bunyi mesin cetakan akhbar mengiringi kelahiranku pada malam itu. Aku seperti adik-beradik ku yang lain, telah diberi nama Berita Harian. Syarikat penerbitan akhbar tempat ku lahir merupakan sebuah syarikat akhbar yang tersohor di tanah airku. Hidup sebagai senaskhah akhbar, aku telah dimuatkan dengan pelbagai berita terkini dan juga maklumat berguna yang dinanti-nantikan oleh para pembaca kami yang setia.

Menjelang tengah malam. Aku dan rakan-rakanku telah dibawa menaiki sebuah lori. Destinasi yang dituju ialah Bandaraya Kuala Lumpur, sebuah bandar yang kira-kira 52 kilometer daripada tempat lahirku. Perjalanan yang tidak memakan masa yang lama, hanya dua jam ke ibu negara membuatkan kami tidak sabar untuk turun ke tempat baru. Akhirnya, sebaik sahaja sampai kami telah diturunkan dari lori untuk diagih-agihkan kepada para penjual akhbar yang telah bersedia dengan kenderaan masing-masing.

Aku telah dibawa oleh seorang penjual surat khabar menaiki kenderaannya dan tidak lama kemudian, aku sampai di sebuah stesen minyak. Aku telah ditempatkan bersama-sama dengan kawan-kawanku di rak akhbar. Kami diletakkan di situ agar mudah dilihat oleh pembeli dan seterusnya dicapai mereka. Pada jam 7.00 pagi, aku telah dibeli oleh seorang pemuda yang mengisi minyak keretanya di stesen minyak tersebut. Kemudian, aku dibawanya ke pejabat lalu ditatapnya dengan penuh minat. Menjelang petang, aku telah dikeleknya untuk dibawa pulang ke rumah lalu dibaca oleh ahli keluarganya. Aku berasa bangga dapat memberi khidmat kepada pembacaku.

Menjelang tengah malam, seluruh badanku telah menjadi lembik kerana bertukar dari satu tangan ke tangan yang lain. Aku tidak lagi bertenaga seperti keadaanku pada waktu pagi tadi. Akhirnya, setelah seluruh isi badanku habis dibaca, aku pun diletakkan di atas meja. Tidak lama kemudian, ibu pemuda itu telah mengambil ku lantas menempatkanku di dalam setor bersama barang-barang lain yang tidak digunakan lagi. Aku berasa diriku tidak berguna lagi, ibarat kata pepatah, “ Habis madu sepah dibuang”.

Selepas beberapa minggu aku menghuni setor yang gelap dan berhabuk itu, aku pun dikeluarkan. Rupa-rupanya, seorang pembeli akhbar lama datang untuk membeli akhbar sepertiku. Aku telah dilonggokkan bersama akhbar yang lain dan ditimbang untuk dijual. Akhirnya, aku telah dilemparkan bersama-sama dengan kertas terpakai ke dalam lori untuk dihantar ke pusat kitar semula. Begitulah riwayat hidupku sebagai senaskhah akhbar.
                                                            

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS